Translate

วันจันทร์ที่ 19 สิงหาคม พ.ศ. 2556

Rahsia Sujud Di Dalam Solat

Rahsia Sujud Di Dalam Solat (Ayuh Sebarkan!!!)


Tahukah kita solat 5 KALI sehari iaitu 17 RAKAAT telah berlaku 34 kali SUJUD. Di dalamnya terdapat 1001 hikmah yang terkandung. Antaranya:-

Seorang ahli Sains saraf otak Amerika, Dr. Fidelma O’leary mendakwa bahawa beberapa saraf di otak manusia tidak boleh dialiri oleh darah dari jantung kerana posisi jantung yang berada di dada tidak cukup kuat untuk menampung pembawaannya ke otak manusia. Padahal otak amat memerlukan oksigen dan bekalan darah yang mencukupi supaya dapat berfungsi secara normal. Beliau mengkaji dari tempoh masa yang lama untuk mencari jawapan. Dikaji dengan lebih serius akhirnya dia perolehi jawapan bahawa darah akan mengalir setiap inci ke otak manusia secara sempurna ketika seseorang itu melakukan sujud seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam dalam solat. Bila perkara ini berlaku,maka otak dapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi lalu dapatlah menghindarkan pelbagai jenis penyakit seperti stress, migraine, stroke , menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Juga boleh membaiki posisi anak dalam kandungan rahim…dll.

Paling HEBAT lagi maka dia memeluk Islam…hebat tak kuasa SUJUD?

Sebenarnya:-

1. SUJUD PERTAMA tanda TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA tanda SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH)


Dalam khutbah Ramadhan Nabi s.a.w bersabda:,
Punggung-punggung kalian sudah berat menanggung dosa-dosa kalian. Ringankan lah beban kalian dengan memperbanyakkan sujud.

“Hendaklah kamu bersujud kepada Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu” ,(HR Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45)

Dari Sudut Tasawuf

Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.

Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah
( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani).

Firman Allah SWT yang bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).

Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah, mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari tanah itu.

Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.

Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana Rabbial- A’la wa-Bihamdih”.

P/S: Islam itu kan indah.. solat itu sempurnakan dan berikan kebaikan kepada Hambanya zahir dan batin. Bila kita sempurnakan hak Allah (solat) , Dia akan menyempurnakan hak kita sebagai hamba (hikmah dan kebaikan ) Konsep GIVE AND TAKE…

วันพฤหัสบดีที่ 1 สิงหาคม พ.ศ. 2556

'Tak Bai' belum selesai


'Tak Bai' belum selesai

(oleh :   Hara Shintaro)
Sekali lagi berita sedih mengenai Pembunuhan Beramai-ramai Takbai. Kejadian ini dalam bahasa Thai dipanggil sebagai 'peristiwa' tetapi yang berlaku sebenarnya ialah pembunuhan secara total zalim oleh pihak tentera. 

Kejadian ini berlaku pada tahun 2004 ketika beratus-ratus penduduk tempatan mengadakan tunjuk perasaan di depan Balai Polis Takbai (sebuah kota yang terletak di seberang Pengkalan Kubor, Kelantan). Tuntutan mereka adalah supaya membebaskan enam orang kampung yang diberkas atas tuduhan kes keselamatan (yang sebenarnya kambing hitam). Tetapi polis dan tentera yang kononnya 'mengawal keselamatan' pula mengamuk, dan menembak ke arah penunjuk perasaan. Beberapa orang terus terkorban di sana. Kemudian, polis dan tentera membelasah penunjuk perasaan serta orang-orang yang berhimpun di sana (yang tidak menyertai tunjuik perasaan), merebahkan mereka ke atas tanah, dan mengikat tangan mereka di belakang. Tindakan yang diambil oleh 'pegawai keselamatan' selanjutnya adalah amat luar biasa. Mereka melonggok-longgokkan tahanan itu ke dalam trek tentera secara berlapis-lapis, seolah-olah ikan sardin yang tertindih dalam tin. 

Kemudian mereka dibawa ke kem tentera yang terletak di Wilayah Patani. Jaraknya lebih kurang 160 kilometer. Perjalanan dari Tak Baik ke Patani biasanya tidak melebihi tiga jam. Tetapi entah macam mana, pada hari itu, trek tentera yang membawa 'ikan sardin' tersebut mengambil masa lapan jam dalam perjalanan. Akhirnya, ketika trek-trek tersebut sampai di kem tentera (yang dipanggil Ingkhayuttha boriharn), lebih daripada 70 nyawa orang telah terlayang akibat sesak nafas. Menurut mangsa yang terselamat, orang-orang yang terletak di lapisan bawah menjerit, mengerang dan menggigit badan orang lain, kerana terlalu seksa. Mereka pun mati seorang demi seorang. 

Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan, ketika mereka berpuasa. 

Sehingga sekarang, tidak ada siapa yang dipertanggungjawabkan atas kezaliman ini, bermula daripada Perdana Menteri pada ketika itu, Thaksin Chinawatra, Panglima Tentera, Ketua Polis Negara, Jeneral-jeneral serta pegawai keselamatan. Ini satu keajaiban dalam dunia modern. Sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara maju masih membiarkan kebuasan dan kejahilan pegawai kerajaannya sehingga menyebabkan terkorbannya rakyat negara sendiri. 

Berita terkini yang amat menyedihkan ialah mahkamah agung di negara gaja putih ini menyokong keputusan mahkamah jenayah yang menyatakan bahawa tidak ada siapa yang harus bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai ini. 

Ternyata hak asasi manusia di Thailand sentiasa dicerobohi oleh 'keselamatan'. Peristiwa tembakan secara rambang oleh 'pegawai keselamatan' ke arah penduduk kampung yang menyebabkan empat kematian juga menemui jalan buntu kehakiman. Tidak ada pegawai yang dijatuhkan hukuman. 

Begitulah keadaan di Bumi Patani. Hak asasi manusia diceroboh, tetapi kezaliman dipelihara. Selagi kerajaan Thai tidak menghapuskan sistem ketidakadilan ini, pada pandangan saya amat sukar untuk mencapai keamamanan.

(oleh :   Hara Shintaro)