'Tak Bai' belum selesai
(oleh : Hara Shintaro)Sekali lagi berita sedih mengenai Pembunuhan Beramai-ramai Takbai. Kejadian ini dalam bahasa Thai dipanggil sebagai 'peristiwa' tetapi yang berlaku sebenarnya ialah pembunuhan secara total zalim oleh pihak tentera.
Kejadian ini berlaku pada tahun 2004 ketika beratus-ratus penduduk tempatan mengadakan tunjuk perasaan di depan Balai Polis Takbai (sebuah kota yang terletak di seberang Pengkalan Kubor, Kelantan). Tuntutan mereka adalah supaya membebaskan enam orang kampung yang diberkas atas tuduhan kes keselamatan (yang sebenarnya kambing hitam). Tetapi polis dan tentera yang kononnya 'mengawal keselamatan' pula mengamuk, dan menembak ke arah penunjuk perasaan. Beberapa orang terus terkorban di sana. Kemudian, polis dan tentera membelasah penunjuk perasaan serta orang-orang yang berhimpun di sana (yang tidak menyertai tunjuik perasaan), merebahkan mereka ke atas tanah, dan mengikat tangan mereka di belakang. Tindakan yang diambil oleh 'pegawai keselamatan' selanjutnya adalah amat luar biasa. Mereka melonggok-longgokkan tahanan itu ke dalam trek tentera secara berlapis-lapis, seolah-olah ikan sardin yang tertindih dalam tin.
Kemudian mereka dibawa ke kem tentera yang terletak di Wilayah Patani. Jaraknya lebih kurang 160 kilometer. Perjalanan dari Tak Baik ke Patani biasanya tidak melebihi tiga jam. Tetapi entah macam mana, pada hari itu, trek tentera yang membawa 'ikan sardin' tersebut mengambil masa lapan jam dalam perjalanan. Akhirnya, ketika trek-trek tersebut sampai di kem tentera (yang dipanggil Ingkhayuttha boriharn), lebih daripada 70 nyawa orang telah terlayang akibat sesak nafas. Menurut mangsa yang terselamat, orang-orang yang terletak di lapisan bawah menjerit, mengerang dan menggigit badan orang lain, kerana terlalu seksa. Mereka pun mati seorang demi seorang.
Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan, ketika mereka berpuasa.
Sehingga sekarang, tidak ada siapa yang dipertanggungjawabkan atas kezaliman ini, bermula daripada Perdana Menteri pada ketika itu, Thaksin Chinawatra, Panglima Tentera, Ketua Polis Negara, Jeneral-jeneral serta pegawai keselamatan. Ini satu keajaiban dalam dunia modern. Sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara maju masih membiarkan kebuasan dan kejahilan pegawai kerajaannya sehingga menyebabkan terkorbannya rakyat negara sendiri.
Berita terkini yang amat menyedihkan ialah mahkamah agung di negara gaja putih ini menyokong keputusan mahkamah jenayah yang menyatakan bahawa tidak ada siapa yang harus bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai ini.
Ternyata hak asasi manusia di Thailand sentiasa dicerobohi oleh 'keselamatan'. Peristiwa tembakan secara rambang oleh 'pegawai keselamatan' ke arah penduduk kampung yang menyebabkan empat kematian juga menemui jalan buntu kehakiman. Tidak ada pegawai yang dijatuhkan hukuman.
Begitulah keadaan di Bumi Patani. Hak asasi manusia diceroboh, tetapi kezaliman dipelihara. Selagi kerajaan Thai tidak menghapuskan sistem ketidakadilan ini, pada pandangan saya amat sukar untuk mencapai keamamanan.
(oleh : Hara Shintaro)
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น